[Tuesday, May 19, 2009
|
]
Satu kem Kemantapan Silat telah pun dirancang teliti oleh pihak gelanggang MTM, Kota Bharu dengan kerjasama penuh pihak kelab. Kem tersebut telah ditetapkan selama 4 hari iaitu 25-28.06.2009 di Pantai Melawi, Bachok.
Anggaran penyertaan yang bakal menyertai kem tersebut ialah seramai 150-200 orang termasuk beberapa pesilat daripada kelab yang bergelanggang di Selangor.
Antara agenda kem tersebut ialah pengisian rohani yang bakal diseimbangkan dengan latihan fizikal silat yang bakal dikendalikan penuh oleh pihak Gurulatih kelab dan Gurulatih asal MTM. Manakala ujian bengkung juga bakal dilaksanakan oleh pihak kami pada 27.05.2009.
Penginapan pula akan disediakan oleh penganjur bagi kesemua pesilat iaitu pesilat lelaki di khemah manakala pesilat wanita dan keluarga serta dewasa dan gurulatih di chalet-chalet.
Aktiviti sebegini adalah satu aktiviti rutin semenjak tahun 1994 bagi gelanggang MTM, Kota Bharu di pelbagai tempat tertentu bagi kem tahunan sebegini.

Kem Kemantapan Silat & Ujian Bengkung di Pantai Melawi, Bachok
[Sunday, May 17, 2009
|
]
Pihak Ahli Jawatankuasa PPR Kota Damansara akan menganjurkan gotong-royong di gelanggang Kota Damansara pada ahad, 17.05.2009 bagi membina tiang dinding gelanggang tersebut sementara dikhabarkan oleh pihak jawatankuasa bahawa setakat ini 40 keping zink yang bakal menutupi separuh gelanggang tersebut telah disumbangkan oleh beberapa pihak termasuk beberapa peralatan lain.
Gelanggang tersebut telah mula digunakan selepas gotong-royong meracun dan memotong rumput dijalankan pada minggu lepas. Sebelum latihan pada minggu ini, sekali lagi gotong-royong dibuat bagi membuang saki baki batu konkrit dan besi cerucuk yang masih boleh ditemui bagi mengelakkan apa jua kecederaan.
Pihak kelab kami sendiri akan menaja beberapa asas dalam mendirikan gelanggang tersebut termasuk papan tanda yang bakal menjadi kebanggaan pihak Ahli Jawatankuasa PPR Kota Damansara dan pihak penduduk tempatan.
Sokongan terhadap penubuhan dan pembinaan gelanggang tersebut juga amat disokong sepenuhnya oleh penduduk setempat apabila pada malam latihan lepas yang turut buat gotong-royong kecil turut dihadiri oleh para ibu bapa dan jawatankuasa penduduk.
Menampakkan lagi semangat mereka, satu kelas dewasa dimohon dibuat secara berasingan dengan kelas yang sedia ada. Malah menurut jawatankuasa, kaum ibu telah menampakkan beberapa penyertaan dan kemungkinan kelas dewasa wanita akan diwujudkan juga.
Terima kasih atas sokongan anda.

Gotong-Royong di Gelanggang Kota Damansara pada 17.05.2009
[Sunday, May 17, 2009
|
]
Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Dr. Mohd Nasir yang sudi singgah melihat gelanggang silat kami di Kota Damansara yang kini dalam proses pembinaan dengan kerjasama penuh pihak Ahli Jawatankuasa Penduduk PPR Kota Damansara.
Aktiviti pertama gelanggang Kota Damansara tersebut kelak akan berlangsungnya perasmian awal penggunaan tapak gelanggang tersebut oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Jun 2009 yang mana tarikh sebenar akan dimaklumkan kelak.
Pihak kami berharap dengan kerjasama kedua-dua pihak antara Yang Berhormat ADUN Kota Damansara dan pihak Kementerian tersebut akan memberikan manfaat yang baik bagi kesemua pihak.

Terima Kasih Yang Berhormat!
[Friday, May 15, 2009
|
]
Atas permintaan pihak Majlis Perwakilan Penduduk MBSA Zon 22, pihak kami akan mengadakan satu demo silat secara ringkas pada 17.05.2009 (ahad) di Dewan Pudina, Taman Bukit Subang sekitar jam 9.00 - 10.00 pagi sempena perasmian Pertandingan Badminton anjuran Biro Sukan dan Kebudayaan MPP Zon 22.
Sekali gus demo tersebut akan memberikan penerangan ringkas secara visual mengenai aktiviti dan komitmen kami dalam melaksanakan matlamat silat kami dari sudut budaya mahupun sukan.
Demo yang bakal dipersembahkan adalah demo silat berkaitan senjata dan hanya pesilat dewasa yang terlibat di dalam demo tersebut.
Pihak kami berharap dengan demo tersebut kelak bukan sahaja menambah minat penduduk tempatan mahupun penduduk daripada MPP Zon lain yang turut hadir dan terlibat di dalam pertandingan tersebut kelak.

Demontrasi Silat di Taman Bukit Subang Pada 17.05.2009
[Thursday, May 14, 2009
|
]

Pihak PSSPGM Negeri Sembilan di bawah Cikgu Abu dan rakan-rakan seperjuangan yang lain menjemput pihak ahli kelab dan Anak Gayong di bawah kelolaan Kelab Silat Seni Gayong Subang Jaya untuk menyertai Perlimau Tapak & Perlimau Seni pada 17.05.2009 di tempat di atas. Acara dimulakan pada jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari.
Program tersebut akan dikelolakan oleh Cikgu Abu daripada Seremban bersama kerjasama daripada Anak Gayong Negeri Sembilan dan kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai program tersebut, sila hubungi: 019-278 6808
Nota: Gambar sekadar hiasan daripada arkib gambar kami.

Program Perlimau di Pulai, Sikamat Seremban
[Wednesday, May 06, 2009
|
]
Boleh saya tahu samada cikgu minat nak bukak gelgg di Klang? Adakah cikgu akan buka gelanggang di satu selangor? - Email pada 28.04.2009
Bagi menjawab ringkas kepada persoalan ini, saya ingin nyatakan pada setakat ini kami menumpukan sepenuh perhatian kepada gelanggang yang sedia ada atas masalah kekurangan gurulatih yang menjadi masalah utama di seluruh Malaysia.
Sebenarnya tumpuan kami hanya tertumpu di kawasan pentadbiran tanah jajahan Petaling Jaya yang mana kami menumpukan sepenuhnya kepada kawasan Puchong sehingga Shah Alam (baru sahaja mula buka gelanggang).
Gelanggang paling jauh setakat ini adalah Kota Damansara dan Taman Bukit Subang, Shah Alam yang mana dianggap jauh daripada pusat kami tetapi masih di dalam pentadbiran Petaling Jaya sebagaimana menjadi matlamat kami.
Kami banyak menerima cadangan dan permintaan untuk membuka gelanggang di luar kawasan yang ditumpukan oleh pihak kami tetapi terpaksa ditolak dan dicadangkan kepada lain-lain gelanggang bagi kebaikan bersama kerana pihak kami menjanjikan komitmen yang tinggi kepada gelanggang mahupun jawatankuasa penduduk, maka adalah suatu yang memalukan sekiranya pihak kami gagal berbuat sedemikian kerana masalah gurulatih dan jarak yang jauh kelak. Harap ia dapat menjawab soalan kedua Cik/Puan A.
Setakat ini pihak kami telah menolak permohonan pembukaan gelanggang di kawasan Kajang, Serdang, Klang dan Sungai Buloh dan mencadangkan beberapa gelanggang Gayong ain semasa berbuat sedemikian. Maka secara tidak langsung menjawab persoalan pertama Puan/Cik A.
Soal penumpuan kepada kawasan Puchong dan kawasan terdekat sering disebutkan oleh saya sendiri maka ada beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh para penjaga mahupun rakan-rakan saya yang memakan balik kata-kata saya apabila saya meneruskan usaha membuka gelanggang di Taman Bukit Subang dan Kota Damansara pada awal tahun ini. Tak kurang juga ada desas desus (dalam komen blog ini yang telah dipadamkan) yang menyatakan saya menghalang pembukaan gelanggang oleh gurulatih lain yang dipercayai merujuk kepada gelanggang Taman Bukit Subang atau Kota Damansara.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara ini agar sangkaan baik terus wujud samada daripada rakan-rakan saya mahupun pihak lain kerana perkara ini sendiri saya tidak pernah nyatakan kepada mereka.
Dua gelanggang yang jauh itu sebenarnya dibuka oleh saya atas dasar menjaga komitmen dan nama baik bagi Silat Seni Gayong tanpa membezakan mana-mana pertubuhan. Ia dibuka atas permohonan pihak penduduk di sana yang mana mula dirancang pada lebih awal sebelumnya tetapi telah saya ketepikan atas dasar masih ada rakan berhampiran yang boleh membantu tetapi setelah hampir setahun mereka kembali kepada saya kerana ada pihak tidak memberikan respon yang baik ataupun masih tidak dapat memberikan komitmen kepada kawasan tersebut. Maka bagi meneruskan nama bagi Gayong mahupun peluang di situ, maka saya teruskan membuka gelanggang-gelanggang tersebut dan dijaga sendiri oleh saya walaupun ada permintaan gurulatih lain untuk menjaga gelanggang tersebut.

Jawapan Kepada Email (7): Matlamat & Kawasan Pembukaan Gelanggang
[Wednesday, May 06, 2009
|
]

Cikgu Shams, Cikgu Mat & Cikgu Wan Halim

Sempat lagi breakfast sekali lagi ni. Lambat lagi 10.30 pagi

Mesyuarat AJK Pusat PSSPGM pada jam 11.15 pagi. 10 orang AJK hadir

Perjumpaan Majlis Adat pada jam 3.45 petang turut membuka beberapa isu mesyuarat AJK untuk maklumat dan idea.
Dari kiri: Cikgu Shams (Selangor & Kelantan), Cikgu Wan Halim (Kelantan),Pakndak Majid, Cikgu Aqili (Kelantan) & Cikgu Rasip Wahab (Selangor)
Barisan depan dari kiri: Cikgu Shams (Selangor & Kelantan), Cikgu Wan Halim (Kelantan), Cikgu Kasturi Majid (Setiausaha), Cikgu TuahJani Majid (Wilayah Persekutuan & Cikgu Mat (Kelantan)

Sekitar Perjalanan Mesyuarat AJK Pusat & Adat Pada 01.05.2009 di Gurun, Kedah